My College Fund

Juruteknik Komputer (FT17) jawab FAQ SBPA dengan memorandum

Memorandum berikut saya salin daripada laman FACEBOOK INI untuk perhatian rakan-rakan Juruteknik Komputer FT17.


MEMORANDUM CADANGAN DAN TUNTUTAN KESERATAAN JURUTEKNIK KOMPUTER (FT17) DENGAN JURUTEKNIK (J17) BERKENAAN PENGGREDAN SEMULA SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA) MALAYSIA.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Seluruh warga Juruteknik Komputer Malaysia secara sebulat suara bersetuju menyatakan pendirian kami berkenaan penggredan baru SBPA.

Sebagaimana semua pihak telah sedia maklum, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2011 yang diedarkan baru-baru ini mengenai Pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Pengiktirafan Sijil Politeknik atau sijil-sijil yang setaraf dengannya diiktiraf setaraf dengan STPM. Jadi berlakulah penambahbaikan skim perkhidmatan Juruteknik daripada gred J17, J22, J26 kepada JA3-1,JA3-2 dan JA3-3. Selain dari itu, Pembantu Pertanian, Pembantu Verterinar, Renjer Hutan dan Pengajar Membalak daripada gred G17, G22, G26 kepada GA3-1,GA3-2 dan GA3-3. Tentulah disambut dengan begitu gembira oleh mereka yang terlibat.

Meneliti semula syarat-syarat yang ditetapkan untuk pelantikan Juruteknik, didapati terdapat persamaan dengan Jawatan Juruteknik Komputer iaitu berkelayakkan Sijil Politeknik dan setaraf dengannya.

Dalam pekeliling SBPA lampiran B4, Jadual pemindahan gred. Juruteknik di letakkan dalam Kumpulan Pelaksana Berkelayakan STPM manakala Juruteknik Komputer diletakkan dalam Kumpulan Pelaksana Berkelayakan SPM. Adalah menjadi satu kemusykilan mengapa JPA harus membeza-bezakan kelayakan pemegang sijil daripada politeknik, apa istimewa dan apa kurangnya kelulusan untuk sesetengah jawatan.

Sehubungan itu, kami yang menjawat jawatan sebagai Juruteknik Komputer yang memiliki sijil dalam bidang berkaitan memohon dan merayu supaya JPA, CUEPACS, atau badan berkaitan meneliti semula skim perkhidmatan kami atas sebab-sebab berikut:

Meskipun syarat lantikan minima untuk menjawat jawatan Juruteknik Komputer gred FT17 adalah SPM, namun salah satu syarat lantikannya adalah sijil daripada politeknik atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya. Ini menjadikan salah satu syarat lantikannya bersamaan dengan jawatan Jurukteknik J17 yang syarat lantikannya juga sijil dari politeknik atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya.

Alasan yang diberikan iaitu syarat lantikan minima skim perkhidmatan Juruteknik Komputer FT17 adalah SPM untuk tidak dimasukkan skim perkhidmatan tersebut dalam Kumpulan Pelaksaan Berkelayakan STPM adalah tidak tepat. Ini kerana untuk Pembantu Pertanian, Pembantu Verterinar, Renjer Hutan dan Pengajar Membalak gred G17, G22, G26 juga syarat lantikan minima memerlukan kelulusan SPM. Tetapi dimasukkan ke dalam Kumpulan Pelaksaan Berkelayakan STPM.

Merujuk dokumen jawapan JPA melalui soalan-soalan lazim (FAQ) SBPA, muka surat 9 soalan 18. “Kenapa skim perkhidmatan Juruteknik Komputer tidak dinaik taraf ke kelompok kelayakan masuk minimum STPM seperti skim perkhidmatan Juruteknik walaupun memperuntukkan syarat kelayakan masuk sijil politeknik?” “Skop fungsi tugas Juruteknik melibatkan tugas-tugas teknikal meliputi aspek pembinaan, keselamatan kenderaan/jentera, ubah suai bangunan serta kerja-kerja pemetaan yang memerlukan kelayakan masuk Sijil Politeknik. Manakala skop fungsi tugas Juruteknik Komputer pula adalah meliputi perkara-perkara seperti mengurus stor dan rekod alat ganti, membaik pulih tetikus atau pencetak, menjalankan peningkatan perisian ke versi terkini dan melaksanakan instalasi program mengikut keperluan pengguna komputer yang mana ianya cuma memerlukan kelayakan masuk SPM. Walau bagaimanapun penyandang skim perkhidmatan Juruteknik Komputer yang mempunyai kelayakan Sijil Politeknik telah diperuntukkan penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi.”

Dari jawapan tersebut bolehlah dianggap jawapan tersebut diberikan dengan tidak tepat dan teliti. Skop tugas Juruteknik Komputer adalah seperti :

- penyelenggaraan/pembaikan computer
- penyelenggaraan/pembaikan mesin pencetak
- penyelenggaraan/pembaikan mesin pengimbas
- penyelenggaraan/pembaikan pusat data (server), Keselamatan (Virus dan lain-lain)
- pemulihan bencana
- penyelenggaraan/pembaikan rangkaian/wireless
- pengurusan web hosting/laman web
- pengurusan inventori/pelupusan peralatan ICT
- pengurusan makmal komputer
- pengurusan emel dan automasi pejabat

Sangat berbeza dengan jawapan di atas yang boleh diringkaskan seperti berikut :

- mengurus stor dan rekod alat ganti
- membaik pulih TETIKUS dan PENCETAK (sahaja?)
- menjalankan peningkatan perisian ke versi terkini
- melaksanakan instalasi program

Sejauh mana JPA mengkaji dan mendapatkan skop tugasan FT17. Adakah hanya memantau di pejabat-pejabat kerajaan atau secara keseluruhannya. Melalui penerangan dalam FAQ tersebut, seolah-olah skop tugasan FT17 yang diterangkan SANGAT-SANGATLAH DITAHAP MINIMA, tetapi skop tugasan J17 adalah ditahap maksima sehingga membolehkan J17 dinaiktaraf kepada J3-1. Diharap JPA lebih peka dalam mengumpul maklumat dan memberi jawapan seterusnya memantau dengan lebih mendalam perkara ini.

Dengan penambahbaikan dan perubahan skim tersebut sudah tentulah gred J17 berpeluang mendapat gaji akhir, kenaikan gaji tahunan dan pangkat yang lebih tinggi. Di dalam SBPA nanti Juruteknik JA3-1 menikmati gaji RM1410-RM4185 KGT RM145/150 manakala Juruteknik Komputer FT4-1 menikmati gaji RM980-RM2805 KGT RM95. Bukankah ini akan mewujudkan satu jurang yang besar antara Juruteknik JA3-1 dan Juruteknik Komputer FT4-1.

Lanjutan daripada itu juga, kami yang berada di skim perkhidmatan Juruteknik Komputer gred FT17/22/26 seramai 4004 orang ingin menuntut dan merayu supaya JPA membuat semakan semula penggredan dan penjadualan tangga gaji agar ia lebih relevan dengan kelulusan, pengalaman serta keadaan ekonomi semasa seperti mana yang telah diberikan kepada skim perkhidmatan yang lain khususnya yang terbaru bagi skim perkhidmatan Juruteknik gred J17/22/26 yang telah pun ditambahbaikan.

Sekian, terima kasih.

Juruteknik Komputer Seluruh Malaysia

5 ulasan:

  1. ASSALAMUALAIKUM...

    SEDIKIT BERKENAAN RESPOND KEPADA PERSOALAN DIATAS.
    SY BAGI PIHAK YANG MEMBACA DAPAT SEDIKIT MEMBUAT RUMUSAN BAHAWA PERBEZAAN DARI SEGI GRED FT DAN J YANG DI NAIKAN KEPADA JA31 ADALAH SANGT BERPATUTAN ..KERANA JIKA KITA TENGOK PADA DASARNYA BEBAN KERJA YANG DITANGUNG OLEH JURUTEKNIK GRED J ADALAH LEBIH BESAR JIKA DI BANDINGKAN DENGAN FT17...DI UKUR DARI SUDUT TAHAP PEMBELAJARAN JUGA SILIBERS J DAN FT JAUH LEBIH MENCABAR KEPADA KEJURUTERAAN AWAM ...MAKA AMAT BERPATUTTAN LA SEKIRANYA JBA MENILAI KEPADA TAHAP SEKARANG BAGI GRED J...TAPI UNTUK GRED FT JUGA SY FIKIR AKAN ADA NANTI SATU MASA DI MANA GRED FT17 JUGA DI NAIK TARAF KEPADA FT31...BOLEH RUJUK KEPADA PERSATUAN ...DOA2KAN..INSYAALLAH

    BalasPadam
  2. SATU MASA YANG TIDAK PASTI BILA SEDANGKAN J DITEMPAT SAYA HANYA SEDAP MENAIP DOKUMEN DI BILIK AIR BER AIRCOND DAN DALAM MASA SETAHUN HANYA SEKALI TURUN SITE TAK SAMPAI 30 MINIT HANYA UTK PEMANTAUAN PAKAI HELMET BORAK2 DENGAN VENDOR PASAL PROJEK.. APA LA RISIKO NYA BRO UTK J SEPERTI YANG JPA KATAKAN? SEDANGKAN FT DISINI KELAM KABUT PERGI KE SEKOLAH2 LAIN BEKERJA SAMA BUAT PEMBAIKAN NETWORKING 1 - 3 HARI DEMI ICT SEKOLAH2 BIAR PUN MENEMPUH KAWASAN PENDALAMAN, PANJAT BUMBUNG BUAT PIPING NETWORK, CABLING ELEKTRIK POWER UTK SUPPOT POWER BARANG NETWORKING.. KALAU DI SEKOLAH, SAPA YANG MENYIMEN JALAN YG ROSAK, BAIKI BANGUNAN, LAMPU N KIPAS? KAMI FT17, KERANA APA? KERANA 1 JA PEMAHAMAN GRED2 PROFESSIONAL, JURUTEKNIK MESTI TAHU LA SEMUA KERJA TEKNIKAL BIAR PUN SKOP TU UTK GRED J OR ANYTHING, JURUTEKNIK TETAP JURUTEKNIK WALAUPUN DAH TERANG2 DILETAKKAN KAMI HANYA JURUTEKNIK KOMPUTER.. :)

    BalasPadam
  3. menyimen jalan.. hahaha.. you nie ft sekolah mana??

    BalasPadam
  4. assalamualaikum...memang betul pada dasarnya beban jawatan juruteknik gred J amat berat tetapi bukan di semua tempat. Setengah-tengah tempat tugas juruteknik tugasnya cuma memeriksa aset di pejabat dan menjaga keselamatan dan kebersihan pejabat. Saya sebagai seorang juruteknik komputer Gred FT17 amat-amat terasa bebanan tugas jika dibandingkan tugas seorang juruteknik di pejabat saya. Ini bermaksud beban tugas seorang juruteknik Gred J dan juruteknik komputer Gred FT17 sebenarnya memang sama-sama membebankan tetapi melihat kepada keadaan tempat di mana dia ditugaskan.

    BalasPadam
  5. Beban kerja dijadikan ukuran agak susah sebenarnya. Jika Gred FT17 lebih banyak cabang kerjanya bukan setakat membaiki Komputer malah seperti saya melakukan kerja2 penyelenggaraan Data Center yang berkaitan pengkalan data,sistem, Jana Kuasa,kuasa sokongan, perisian dan lain2 kerja termasuklah pendawaian rangkaian Komputer. malah ada yang lebih berat lagi itu bergantung kepada persekitaran majikan dan pengalaman.

    test test test

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...